Wan Ali seorang kaum terpelajar berasal dari keluarga tani sederhana,
dilahirkan di Jerantut, Pahang utara. Semangat nasionalismenya berkobar-kobar
akibat pengaruh semakin menanjaknya gerakan kemerdekaan nasional rakyat Malaya
lepas Perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1945, beliau menjadi anggota PKMM (Parti Kebangsaan Melayu
Malaya), kemudian dilantik menjadi Ketua 1 Angkatan Pemuda Insaf (API) kawasan
Jerantut.
Kesedaran nasionalnya yang meluap-luap itu bersumber dari rasa kecintaannya
yang tak terhingga kepada tanah air, terbit dari keinsafan bahawa ibu pertiwi di
bawah penguasaan penjajah asing dan penindasan kelas dalam masyarakat.
Beliau bukan seorang yang hanya pandai bercakap dan berpidato berapi-api di
tengah umum, tetapi semangat revolusionernya yang berkobar-kobar itu benar-benar
dibuktikan pada detik-detik perjuangan yang menentukan hidup mati.
Beliau berkata: “ Saya bila-bila saja bersedia mengorbankan jwa raga dan
darah segar saya demi kemerdekaan tanah air yang dikasihi”.
Beliau menentang kelakuan sesetengah orang yang pada lahirnya mengaku
nasionalisme , ataupun tokoh nasionalisme dan patriotik, akan tetapi pada ketika
menempuh ujian perjuangan yang menentukan, mereka kecut perut malahan ada yang
melutut dihadapan musuh dan rela menjadi anjing buruan penjajah. Beliau
lebih-lebih lagi membenci orang-orang yang pada lahirnya memegang panji
nasionalisme, tetapi yang dikejarnya kepentingan diri, nama, kedudukan,
kemewahan dan kekayaan.
Pada tahun 1947, penjajah Inggeris telah mengharamkan API. Ini semakin
membangkitkan dendam kemarahannya pada kaum penjajah. Beliau secara inisiatif
mengusulkan supaya API melakukan tindakan balas dengan melancarkan perjuangan
bersenjata melawan penjajah Inggeris. Tak lama kemudian Pembela Tanah Air (PETA)
didirikan. Sesuai dengan jiwa radikal Kawan Wan Ali, beliau cepat-cepat
menyertainya dan dilantik menjadi Ketua PETA di daerah sana. Api telah berubah
menjadi PETA.
Pada bulan April 1948 PETA telah mengadakan Kongres Se-Malaya dibandar
Temerloh. Kawan Wan Ali memimpin rombongan pemuda-pemuda dari Jerantut
menghadiri kongres. Wan Ali mengingatkan rakan-rakannya supaya bersiap sedia
menghadapi berlakunya pertempuran dengan polis penjajah, beliau sendiri telah
menyiapkan sepucuk pistol yang disembunyikan dipinggangnya.
Telahan Wan Ali benar-benar menjadi kenyataan. Pemerintah Inggeris tidak
membenarkan berarak. Tetapi pemuda-pemuda yang revolusioner itu tidak
mengendahkan larangan polis, lalu merempuh ke depan dengan mengangkat
tinggi-tinggi lambang revolusioner maju terus dengan membusungkan dada. Polis
mengadakan rintangan-rintangan dan dengan senapang terhunus menghalang peserta
perarakan. Seorang pemuda revolusioner dari Johor menunjukkan tinju kepada OCPD
orang putih, Wan Ali menggenggam pistol menunggu detik-detik polis melepaskan
tembakan. Akan tetapi, polis penjajah yang tidak berani menembak pemuda pemudi
revolusioner tersebut lalu berundur.
Selepas kongres, sejumlah pemuda revolusioner telah dimasukkan ke dalam
senarai hitam penjajah termasuk Kawan Wan Ali. Sebab itu beliau tidak balik ke
rumahnya di Jerantut. Beliau teringat pesanan wakil PKM yang juga Ketua PETA
Pahang, Kamarulzaman Teh bahawa: “ Orang-orang yang masuk senarai hendak
ditangkap musuh haruslah berundur ke kampung-kampung, pergilah menyusun dan
berlindung pada kaum tani, desa adalah tempat yang paling lemah penguasaan musuh
dan bentuklah syarat-syarat sendiri.” Wan Ali telah pergi ke Kuala Krau menyusun
kampung petani di Paya Luas. Di sana beliau membentuk syaratnya sendiri.
Perajurit Revolusi
Ketika meletusnya revolusi bersenjata pada 20 Jun 1948, Kawan Wan Ali
memberitahu rakyat kaum tani supaya siap melakukan pemberontakan bersenjata
mengusir penjajah British dari Malaya. Beliau pun mengatur orang ramai mencari
hubungan dengan pasukan gerila TPNM.
Akan tetapi, pada masa itu, orang ramai memberitahu bahawa mencari hubungan
di kampung-kampung Melayu tidak mungkin, tapi di kawasan berhampiran ada
kampung-kampung orang Cina yang pernah menjadi pangkalan pasukan gerila
anti-Jepun. Wan Ali segera mendidik rakyat supaya mengubah cara berfikir.
Katanya, pada zaman ini, setiap orang yang menginginkan pembebasan haruslah
menerima kenyataan yang masyarakat negara kita terdiri dari rakyat berbilang
kaum. Orang-orang yang hendak berevolusi dan rakyat yang menyokong revolusi tak
kira apa bangsapun adalah sahabat kita. Manakala semua anjing-anjing buruan
imperialis dan semua orang yang menentang revolusi tergolong dalam musuh rakyat,
tak kira mereka orang Melayu, Cina atau India. Beliau menerangkan bahawa
sentiment kemelayuan sempit dari sesetengah orang adalah agenda penjajah yang
ditanamkan dalam diri mereka.
Beberapa hari kemudian, pertempuran-pertempuran meletus di jalan-jalan raya
dan ladang-ladang getah. Berikutnya balai polis Jerantut telah diserang pasukan
gerila, sejumlah senjata telah dirampas. Kawan Wan Ali yang terdorong oleh
pertempuran tersebut berazam hendak bersama-sama dengan pasukan gerila TPNM
menghentam kaum penjajah.
Kira-kira bulan September, beliau dapat berhubung dengan pasukan yang
bergerak di Kuala Krau, bertemu dengan seorang kader PKM keturunan Cina. Pada
akhir bulan Oktober barulah beliau dapat bergabung dengan pasukan gerila Melayu
di bawah pimpinan Abdullah C.D.. Wan Ali memang sudah mengenali Kawan Abdullah
C.D. sebagai pimpinan PKMM dan juga wakil PKM selatan Malaya. Kawan Wan Ali
telah mempersembahkan hasil pekerjaannya di Kampung Paya Luas untuk dijadikan
salah satu pangkalan gerila Rejimen Ke-10.
Gagah Berani Lalui Ujian
November 1948, Abdullah C.D. membuat rancangan hendak menyerang tumpuan musuh
di Tekai Estet yang berkekuatan 1 platun dipimpin oleh pegawai-pegawai Inggeris.
Kawan Wan Ali telah dihantar dengan beberapa orang perajurit menangkap seorang
polis khas yang balik bercuti ke rumahnya. Polis Khas yang bernama Abu Bakar itu
telah dibawa masuk ke kem dan diminta melukiskan peta pertahanan musuh. Pada
pukul 3 pagi, Abu Bakar dihantar balik ke rumahnya.
Pada 7 November, hari ulang tahun ke-31 Revolusi Oktober Soviet pimpinan
Lenin. Bersempena hari tersebut, Abdullah C.D. telah menetapkan rancangan
menyerang perkubuan musuh di Tekai Estet. Sehari sebelumnya, iaitu pada 6
November, pasukan telah tiba di tepi estet getah dan kelapa bali Inggeris. Pada
pagi-pagi 7 haribulan, Abdullah C.D. telah menghantar Kawan Wan Ali bersama
seorang perajurit menghubungi Abu Bakar di kubunya dengan menyamar diri sebagai
kaum buruh. Kawan Wan Ali tidak ragu-ragu, terus masuk ke perkubuan musuh.
Setelah bertemu dengan Abu Bakar beliau memberitahu supaya bersiap-siap pasukan
akan menyerang pada malamnya. Setelah menetapkan isyarat-isyarat, Abu Bakar dan
seorang perajurit tadi balik bergabung semula dengan pasukan.
Tiba malamnya, Abu Bakar memberitahu semua seksyennya bahawa pasukan gerila
akan datang menyerang. “Saya tidak akan mengorbankan diri untuk orang Inggeris”,
kata Abu Bakar. Siapa hendak mengikut jalan saya bolehlah gulung tikar bantal
siap balik ke kampung. Seluruh anggota seksyennya mengemas tikar bantal menunggu
kedatangan pasukan gerila. Dengan demikian benteng pertahanan musuh pada pos
pertama telah dikuasai dengan mudah oleh pasukan gerila.
Pasukan maju untuk menguasai pos kedua. Serangan dimulai dengan rancangan
menangkap seorang sarjan. Akan tetapi 2 orang buruh India yang tadinya
dirancangkan sebagai pemandu jalan telah menghilangkan diri di dalam gelap
gelita. Oleh itu Wan Ali bersama seorang perajurit dan seorang polis yang baru
menyerah diri tadi dihantar mencari sarjan tersebut. Wan Ali tanpa teragak-agak
maju dalam gelap gelita melintasi berek buruh dan kedai-kedai kecil akhirnya
sampai ke rumah sarjan.
Ketika itu Sarjan belum tidur lagi. Wan Ali menyerbu masuk dan meminta Sarjan
menyerah diri. Sarjan bertanya “menyerah kepada siapa?”
Wan Ali menjawab: “tentera gerila dipimpin Abdullah C.D.”
“Saudara Abdullah C.D.?” tanya sarjan. “Abdullah C.D. bukan saja pimpinan
kamu, juga pimpinan saya”.
Sarjan memperkenalkan diri sebagai anggota PKMM kawasan Kerdau. Lalu dia
diperkenalkan dengan Abdullah C.D.. Abdullah C.D. meminta kerjasama sarja untuk
menawan pos kedua. Ketika itu ibu Sarjan menangis ketakutan. “Jangan takut mak,
semua ini orang kita belaka” sarjan menasihatkan ibunya.
Ketika berbincang dengan Sarjan, tiba-tiba Wan Ali ternampak kelibat 2 orang
bersenjata sedang berjalan menuju ke suatu sudut. Beliau dengan tangkas
menyelinap ke rusuk dan secara tiba-tiba meloncat keluar, secara tak semena-mena
berdiri di depan seorang polis khas yang baru balik dari bertugas sambil
memerintahkannya menyerah diri.
Dalam pada itu, Sarjan segera dihantar balik menghubungi polis-polis di dalam
kubu. Setelah beberapa kali keluar masuk, barulah polis-polis itu rela menyerah
diri. 21 laras senapang telah ditawan. 2 orang pegawai kulit putih ditembak mati
(seorang darinya mati di hospital).
Pertempuran pertama pasukan Asas Rejimen Ke-10 ini juga merupakan ujian
pertama bagi Kawan Wan Ali.
Selesai pertempuran, pasukan beredar beredar ke Kampung Paya Luas, kampung
asal yang disusun Wan Ali. Orang ramai bersorak gembira melihat hasil
pertempuran pertama pasukan gerila yang merupakan pasukan Asas Rejimen Ke-10.
Orang ramai di situ merasa terharu dan memuji-muji dengan menggelarnya sebagai
“Pasukan Wan Ali” cukup handal bertempur.
Seminggu kemudian, pasukan ini menyerang pula perkubuan musuh di Gong Estate.
Serangan ini juga mencapai kemenangan dan merampas 9 laras senapang. Segera
selepas itu, prestasi pasukan bersenjata Melayu tersebar luas ke kampung-kampung
Melayu dan memberikan pemberangsangan kepada massa revolusioner terutamanya kaum
tani Melayu.
Pada bulan Disember 1948, pasukan ini dihantar ke Jerantut, tempat Kawan Wan
Ali. Pasukan terpaksa melintasi Kampung Ulu Cheka yang agak besar. Pada 16
Disember petang, pasukan telah sampai ke pinggir kampung dan bermalam di sana.
Kebetulan pada hari itu, penjajah telah menghantar 1 platun tentera upahannya
untuk mengawal unit perakam gambar di sana. Kerana kebocoran rahsia, pada pukul
2 malam itu, askar-askar upahan itu masuk merapati tempat pasukan kita bermalam.
Pagi-pagi esoknya berlakulah pertempuran sengit antara pasukan kita dengan
musuh, kira-kira setengah jam lamanya. Pasukan yang dipandu Kawan Nordin, Kawan
Wan Ali dan lain-lain menyerbu ke depan. Askar-askar upahan itu terpaksa lari
meninggalkan medan pertempuran.
“Tak Lut Peluru”
Dalam pertempuran itu, Kawan Wan Ali berteriak mencaci askar upahan penjajah.
Anasir reaksioner yang menyertai pasukan askar penjajah itu dapat cam jelas
suara Wan Ali. Selepa itu dibesar-besarkanlah Kawan Wan Ali sebagai kebal tak
lut dek peluru dalam pertempuran Ulu Ceka tersebut. Cerita ini tersebar dari
mulut ke mulut massa rakyat.
Nama Wan Ali dengan cepatnya menjadi buah mulut
massa rakyat kawasan Jerantut. Kaum reaksioner juga sangat takut kepadanya, tapi
musuh semakin membencinya. Kaum penjajah pernah menawarkan hadiah 20 ribu
ringgit untuk menangkapnya. Akan tetapi massa rakyat sangat menyayanginya. Ke
mana saja pasukan tiba, massa rakyat memberikan sambutan yang penuh mesra.
Gugur Demi Kemerdekaan Tanah Air
Kaum penjajah bukan saja tidak berjaya menundukkan Kawan Wan Ali dengan
kekerasan bersenjata, tetapi hadiah wang juga sia-sia. Kaum penjajah memerah
otak memainkan tipu helah yang lain pula dengan menghantar seorang ejen menyamar
sebagai orang baik menyokong revolusi dan menyiapkan perangkap dalam masa
panjang. Ejen tersebut kemudiannya telah berjaya memenangi kepercayaan Kawan Wan
Ali lalu dilantik sebagai anasir cergas.
Pada suatu hari pada tahun 1949, ejen tersebut telah membuat perangkap dengan
membuat perjanjian pertemuan di rumahnya. Satu pasukan askar musuh telah diatur
menghendap di sekeliling rumahnya. Ketika Wan Ali masuk ke perkarangan rumah,
musuh menghujaninya dengan tembakan-tembakan yang hebat. Di sanalah Wan Ali
gugur dengan gagah perwira demi kemerdekaan tanah air.
Kaum penjajah telah menyiarkan berita pengorbanan Wan Ali secara
besar-besaran dengan tujuan untuk menggertak kaum revolusioner. Akan tetapi
pemergian Kawan Wan Ali telah menyebabkan ramai Wan Ali baru bermunculan
meneruskan cita-cita pahlawan.
Abadilah Pahlawan Wan Ali. Jasamu tercatat dalam sejarah perjuangan
kemerdekaan rakyat. Semangatmu sentiasa hidup dari generasi demi generasi.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Pahlawan Wan Ali.... Alfatihah.