7/20/12

PRU13: Minat politik generasi muda meningkat


KUALA LUMPUR - Ekonomi, jenayah, masalah sosial, pendatang tanpa izin dan isu-isu berhubung kepimpinan negara menjadi
pertimbangan utama golongan belia Malaysia hari ini dan isu-isu ini akan menentukan undi mereka.
Ketua Kajian Pilihan Raya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Datuk Profesor Syed Arabi Idid menunjukkan bahawa kajian beliau terhadap 1,370 belia dalam kumpulan umur 21-35 tahun di seluruh negara mendapati mereka sensitif terhadap masa depan mereka dan negara.
Para responden dalam kajian yang dijalankan pada Mac 2012 juga mengesahkan tanggapan umum bahawa semakin ramai muda-mudi hari ini bergantung kepada Internet berbanding media arus perdana untuk mengikuti perkembangan dalam negara.
Syed Arabi berkata demikian dalam pembentangannya yang bertajuk 'Belia, Media dan Politik: Satu Identiti Baharu' di seminar satu hari yang dianjurkan Unit Kajian Pilihan Raya dengan kerjasama Jabatan Komunikasi dan Jabatan Sains Politik di sini, hari ini.
Satu lagi penemuan Syed Arabi adalah minat politik dalam kalangan generasi muda hari ini adalah tinggi dengan 60 peratus daripada responden berbahas politik dengan rakan-rakan, 52 peratus dengan anggota keluarga dan 32 peratus dengan aktivis politik.
Dalam kebimbangan mereka itu, 88 peratus daripada responden yang kesemuanya merupakan pengundi, menunjukkan keyakinan tinggi yang masa depan negara mereka adalah cerah atau sangat cerah.
Syed Arabi juga menarik perhatian bahawa responden Melayu dan India, jenayah dan masalah ekonomi merupakan kebimbangan utama mereka sekarang ini. Orang Cina nampaknya lebih mengutamakan isu ekonomi dan kepimpinan, disusuli jenayah.
Responden daripada ketiga-tiga kaum juga menyatakan kebanjiran pendatang tanpa izin merupakan satu lagi masalah negara.      
Kajian juga menunjukkan bilangan pembaca akhbar harian aliran utama semakin menyusut dalam kalangan orang Melayu berbanding rakan-rakan Cina dan India mereka.  
Hanya lebih kurang 30 peratus daripada responden Melayu membaca akhbar setiap hari sementara masyarakat Cina mencatatkan 44 peratus pembaca harian. Bilangan pembaca akhbar yang semakin merosot sebahagian besar berpunca daripada peningkatan jumlah mereka yang mencari maklumat melalui Internet - Melayu (29 peratus), Cina (27 peratus) and India (38 peratus).
Kajian Syed Arabi juga cuba menentukan sama ada belia hari ini memilih untuk mengundi calon atau parti dalam pilihan raya akan datang.
Walaupun sebahagian besar memihak kepada parti, nampaknya 40 peratus daripada golongan muda Cina dan 47 peratus India menunjukkan kecenderungan untuk mengundi calon sementara hanya 33 peratus daripada golongan muda Melayu memilih calon, berbanding parti.
Responden juga ditanya parti mana yang mereka akan mengundi jika 'pilihan raya diadakan esok', 52 peratus daripada responden menjawab BN adalah pilihan mereka.
Syed Arabi juga menyatakan bahawa kajian yang sama menunjukkan walaupun sokongan terhadap DAP meningkat pada Mac 2012 berbanding kajian yang sama pada Mac 2008, lain pula ceritanya bagi PKR.     
Sokongan keseluruhan bagi PKR merosot kepada 10 peratus pada Mac 2012 berbanding peratusan menyokong 20 peratus pada Mac 2008 sementara sokongan bagi Pas menurun tiga peratus dalam kajian terbaharu.
Tidak seperti Mac 2008, hasil kajian itu juga menunjukkan 10 peratus daripada golongan muda ini adalah pengundi atas pagar dan menunggu untuk dipikat oleh parti pemerintah atau pembangkang. - Bernama

0 comments:

Post a Comment