Sambutan ambang Merdeka ‘Janji Bersih’ 30 Ogos ini bertujuan mengajak seluruh rakyat hadir untuk meraikan Hari Kemerdekaan sambil mengingatkan kerajaan tentang lapan tuntutan Bersih yang perlu ditunaikan.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, himpunan itu bukan bermaksud untuk mensabotaj atau mengambil alih sambutan kemerdekaan, tetapi turut meraikan semangat kemerdekaan supaya lapan tuntutan Bersih tersebut ditunaikan.
“Asasnya kemerdekaan adalah hak individu dalam negara, dan paling penting hak rakyat untuk menentukan siapa seharusnya jadi kerajaan. Sebab itu kita mengajak semua untuk hadir meraikan Hari Kebangsaan dalam semangat inginkan pemerintahan yang bersih,” katanya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath memberitahu, kumpulan itu telahpun menggerakkan jawatankuasa untuk masuk ke kampus dan kampung-kampung dalam usaha menyebarkan tujuan program ini.
“Kami menuntut sambutan Merdeka yang betul-betul menepati cita rasa rakyat dan melaksanakan janji-janji kerajaan, bukan hanya sebagai slogan,” kata Khalid.
“Setakat ini, Kami telah bergerak ke kampus dan kampung-kampung di sekitar Selangor untuk menyebarkan risalah. Alhamdulillah mendapat respon yang baik dan sasaran seterusnya ialah Negeri Sembilan,” jelasnya.
Jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program tersebut.
“Kami guna peluang ini sebagai melatih mahasiswa untuk belajar tentang demokrasi untuk memilih dan berhimpun, justeru mahasiswa menyokong penuh program ini,” katanya.
Naib Presiden Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Irwan Hidayat pula berkata, inisiatif kelab itu yang akan bekerjasama dengan setiap wakil negeri demi mengajak seramai mungkin anak muda menyertai sambutan tersebut.
“Semua ahli AIC akan turun bersama-sama pada malam 30 Ogos dan menyokong penuh inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Hishamuddin Rais sekali lagi mengajak semua warga Malaysia untuk hadir dan memberi sokongan pada malam itu.
“Sesiapa juga di sekitar Lembah Klang dijemput datang ke Dataran Merdeka pukul 10.00 malam, paling penting pakai baju kuning,” katanya.
Sidang media pengumuman program itu diketuai Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor semalam.
“Untuk merayakan tema ‘Janji Bersih’, kami sarankan anak semua bangsa di seluruh pelusuk negara agar memakai pakaian kuning pada masa dan malam yang sama,” kata Pak Samad.
Sumber : http://www.keadilandaily.com/janji-bersih-rai-semangat-demokrasi-mahu-kjaan-tunai-8-tuntutan/
0 comments:
Post a Comment