12/22/12

( Noli Me Tegere : Jangan sentuh aku) Jose Rizal


Bab 50 : Cerita Elias




"Lebih kurang 60 tahun lalu datuk saya tinggal di Manila. Bekerja sebagai penyimpan kira-kira di pejabat seorang pedagang Sepanyol. Pada waktu itu dia masih sangat muda, meski telah berkahwin dan memiliki seorang anak lelaki. Pada suatu malam gudang pedagang itu kebakaran tanpa diketahui apa penyebabnya. Seluruh bangunan di makan api, yang juga menjalar ke sekitarnya. Kerugian yang diderita sangat besar. Kambing hitam harus dibekuk dan pedagang itu menuduh datuk saya. Sia-sia dia menyangkal telah melakukannya. Kerana miskin, dia dijatuhi hukuman, diarak-arak sepanjang jalan di Manila dan dipukul di muka umum.

 "Hukuman yang merendahkan darjat manusia ini, yang seribu kali lebih buruk daripada mati, belum lama berselang masih dijalankan orang. Datuk saya yang sudah tidak lagi dipedulikan oleh sesiapa pun,kecuali isterinya yang masih muda, diikat di atas punggung kuda, diiringi orang ramai yang tak berperikemanusiaan dan dipukul di setiap sudut jalan, di muka rakyat sesama saudaranya dan dekat patung-patung Jesus Maha Pengasih yang bertebaran itu. Ketika datuk yang malang itu telah diberi malu untuk selama-lamanya dan sudah puas orang melihatnya, baru dia dilepaskan dari kuda itu. Dia tidak lagi sedarkan dirinya - mengharap mati sahaja. Kekejaman yang terpulas halus : dia dibebaskan! Isterinya yang sedang hamil, sia-sia mencari pekerjaan atau minta sedekah dari rumah ke rumah untuk suaminya yang sakit dan anaknya yang tak berdaya. Tetapi siapa pula yang menaruh kepercayaan kepada isteri pembakar yang sudah dijatuhi hukuman? Kemudian dia menjadi pelacur."

 Ibarra bangkit dari duduknya.



 "Oh jangan terkejut! Pelacuran bukan lagi sesuatu yang hina baginya atau bagi suaminya; kehormatan dan kehinaan tidak ada lagi bagi mereka. Sesudah suaminya sembuh dari luka-lukanya, bersama isteri dan anaknya, mereka pergi bersembunyi di pergunungan daerah ini. Di sini isterinya melahirkan seorang bayi yang cacat dan berpenyakit, yang untung sahaja tidak terus hidup. Di sini mereka tinggal selama beberapa bulan lagi, melarat, terasing, dibenci dan dihindari orang. Datuk saya yang tidak tahan menanggung azab sengsara dan tidak setabah isterinya, menggantung diri; dia berputus asa melihat isterinya sakit dan kehilangan sama sekali tempat bergantung. Mayatnya membusuk di muka mata anaknya, yang boleh dikatakan belum lagi mampu menjaga ibunya yang sedang menderita. Bau busuk itu membuatkan mereka diketahui oleh pihak penguasa. Tuduhan-tuduhan dilancarkan terhadap nenek saya dan dia dipersalahkan, kerana tidak melaporkan kepada polis; dia pun dituduh sebagai penyebab kematian suaminya itu; dan tuduhan itu masuk akal kerana seorang perempuan yang jahat, yang telah menjadi pelacur dianggap mampu melakukan apa pun. Jika dia mengatakan sesuasu di bawah sumpah, dia dianggap bersumpah palsu sahaja; dia menangis, dia hanya dianggap mengeluarkan air mata buaya: Jika memanggil nama tuhan, malah diangap menghina tuhan. Sekalipun demikian, mereka menaruh belas kasihan juga terhadapnya, kerana sedang hamil lagi dan tidak memukulnya sampai melahirkan. Tuan tahu pendeta-pendeta menyiarkan keyakinan, bahawa satu-satunya cara memperlakukan rakyat peribumi haruslah dengan memukul mereka; bacalah pendapat Father Gaspa De San Agustin tentang hal ini.

 Dengan hukuman yang demikian itu, seseorang wanita akan mengutuk hari kelahirannya; bukan sahaja memperpanjangkan seksa baginya, melainkan juga memperkosa kasih sayang keibuannya. Malangnya dia melahirkan seorang anak lelaki yang kuat dan sihat. Dua bulan kemudian dia selesai menjalani hukumannya; sangat memuaskan orang-orang yang berasa telah memenuhi kewajipan mereka. Kerana merasa tidak aman lagi tinggal di pergunungan itu, dia mengembara bersama-sama kedua-dua anaknya ke daerah lain yang terdekat. Dan di sana mereka hidup seperti binatang liar, membenci dan dibenci.

 Anaknya yang tua masih mengenangkan saat bahagia kanak-kanaknya di tengah kesengsaraan, segera setelah berasa cukup kuat , lalu menjadi penjahat. Selang tidak berapa lama, nama Balat yang haus darah tersebar dari daerah ke daerah sebagai pengacau ketenteraman kota, untuk melepaskan rasa dendamnya mengobrak-abrik segala sesuatunya dengan kobaran api dan pertumpahan darah.

 Adiknya yang bersifat lembut hati, menyedarkan diri menahan hinaan di samping ibunya; mereka hidup semata-mata dari hasil hutan dan memakai baju rombengan yang dibuang orang. Nama wanita itu telah dilupakan dan hanya dikenal dengan nama pelacur, dan bekas banduan yang dipukul di muka umum. Anaknya hanya dikenal sebagai anak ibunya: kerana kehalusan budinya meragukan orang. Adakah dia anak seorang ayah yang pernah dihukum sebagai pembakar, sebab sifat peribumi selalu diliputi kecurigaan. Pada akhirnya Balat yang terkenal kejahatannya yang telah dilakukannya itu, jatuh juga ke tangan penguasa, dan keadilan manusia yang semata-mata hendak mengajar kebajikan kepadanya, telah menuntut hukuman yang sangat berat bagi segala kejahatannya.

Pada suatu hari, adiknya sedang mencari ibunya yang pergi ke hutan mencari jamur. Dia menemui ibunya terkapar di bawah pohon kapas, mukanya mengadap langit, matanya cekung menatap, jari-jarinya yang telah kaku meramas tanah bercampur darah. Dia menengadahkan ke atas mengikuti mata ibunyayang telah mati dan melihat sebuah keranjang tergantung pada dahan pokok , dan di dalam keranjang itu terdapat kepala abangnya yang berlumuran darah"

 "Ya tuhan!" Seru Ibarra

 "Itulah yang diucapkan oleh ayah saya," Elias melanjutkannya dengan sikap dingin.

 "Orang-orang telah mencincang badan penjahat itu; menguburkan batang tubuhnya; tetapi anggota badannya mereka gantung di merata tempat. Jika suatu masa tuan pergi dari Kelamba ke Santo tomas, tuan masih dapat melihat sebatang pohon Lamboy yang merana, tempat salah sebelah dari kaki pakcik saya itu tergantung dan membusuk. Alam telah mengutuknya dan pohon itu tak pernah tumbuh membesar dan berbuah. Sama pula halnya dengan anggota badan lainnya, tetapi kepalanya, sebagai bahagian paling baik dan paling mudah dikenali, digantung dekat gubuk ibunya sendiri. "Ibarra menundukkan kepalanya..........


José Protasio Rizal Mercado y Alonso Realonda (19 Jun 1861 - 30 Disember 1896) adalah wira kebangsaan Filipina dan juga ahli Freemason. Beliau boleh bertutur dalam bermacam-macam bahasa: Tagalog, Melayu, Cina, Arab, Ibrani, Inggeris, Jepun, Sepanyol, Itali, Portugis, Latin, Perancis, Greek, Russia, Sanskrit dan dialek-dialek Filipina yang lain. Jose Rizal terkenal dengan karangan dua novel, Noli Me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891), kedua-duanya merupakan kritik mengenai penjajahan Sepanyol ke atas Filipina. Buku-buku tersebut bertanggungjawab membangkit semangat persatuan dan identiti kebangsaan di kalangan rakyat Filipina.

0 comments:

Post a Comment